Skip to main content

Portal Rasmi Majlis Daerah Kerian

Portal Rasmi Majlis Daerah Kerian

Aktiviti & Program

LAWATAN SAMBIL BELAJAR AMALAN 5S KE PERPUSTAKAAN UITM CAWANGAN KEDAH

Merbok, KEDAH – Majlis Daerah Kerian di bawah Jawatankuasa Latihan 5S telah menganjurkan lawatan sambil belajar Amalan 5S ke Perpustakaan UITM Cawangan Kedah pada 16 Mac 2023.  Seramai 35 orang anggota kerja Majlis Daerah Kerian yang terdiri daripada pelbagai peringkat jawatankuasa 5S telah disambut mesra oleh Puan Azizah binti Khasim, Timbalan Ketua Pustakawan Uitm Cawangan Kedah bersama beberapa orang anggota kerjanya.

Lawatan sambil belajar yang tertangguh beberapa kali berikutan Covid-19 telah memberi peluang kepada semua peserta untuk mendapat pengalaman sebenar pengurusan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S dari agensi yang turut melaksanakan program kualiti ini.

Dalam sesi taklimat yang diberikan, semua peserta dimaklumkan bahawa Perpustakaan UiTM Cawangan Kedah telah mengamalkan Amalan 5S sejak sembilan tahun yang lalu dan dalam tempoh itu perpustakaan ini telah memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Semua peserta yang terlibat dalam lawatan ini amat gembira dengan layanan yang diberikan oleh pegawai dan anggota kerja Perpustakaan UiTM Cawangan Kedah. Ilmu yang diperoleh ini akan digunakan bagi menambahbaik zon-zon 5S di Majlis Daerah Kerian.

Lawatan sambil belajar ini kemudiannya diteruskan ke Masjid Al Busyra Merbok dan Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Di situ, peserta dapat melihat usaha penjanaan ekonomi oleh pihak masjid yang telah membuka mata ramai pihak sehingga menjadi viral dalam media sosial. Lawatan ke Muzium Arkeologi pula memberi peluang kepada peserta mengetahui secara terus usaha penjagaan artifak sejarah dan sejarah awal penempatan negeri Kedah.