Skip to main content

Portal Rasmi Majlis Daerah Kerian

Portal Rasmi Majlis Daerah Kerian

Aktiviti & Program

KUMPULAN INOVASI MAJLIS DAERAH KERIAN SERTAI
LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PARIAMAN, PADANG, INDONESIA

Seramai 11 orang anggota kerja yang terdiri daripada ahli kumpulan inovasi Majlis Daerah Kerian iaitu ahli Kumpulan Meteor dan Kumpulan One-Off telah menyertai lawatan sambil belajar ke Pariaman, Padang, Indonesia pada 25 hingga 28 Mei 2023.  

 Program ini dianjurkan oleh Majlis Daerah Kerian bagi menghargai kejayaan kumpulan inovasi ini yang mendapat tempat kedua dan ketiga dalam Pertandingan KIK Horizon Baharu Peringkat Negeri Perak tahun 2022 bagi kategori sosial dan juga antara 30 pemenang Pertandingan Inovasi MALA 2.0: Piala YB Menteri KPKT tahun 2022/2023.  Program yang diketuai oleh Setiausaha Majlis Daerah Kerian, Puan Norhafisah binti Haji Mohamad turut membawa misi untuk mempromosikan daerah Kerian sempena Tahun Melawat Perak tahun 2024.

Kehadiran semua peserta disambut meriah dan mesra oleh Walikota Pariaman Prof. Dr. H. Genius Umar beserta isteri dan pegawai kanannya di Dataran Gandoriah, Pantai Gandoriah pada pagi 26 Mei 2023 semasa sesi senamrobik Walikota Pariaman bersama pegawai kanan dengan masyarakat setempat.  Semua peserta diperkenalkan kepada pegawai kanannya dan masyarakat setempat yang berada di situ. Dalam program ini, Puan Norhafisah binti Haji Mohamad, Setiausaha Majlis Daerah Kerian diberi peluang untuk berucap sepatah dua kata.

Kemeriahan sambutan dapat dirasai sekali lagi pada malam 26 Mei 2023 semasa program makan malam di kediaman rasmi Walikota Pariaman. Layanan yang diterima sangat istimewa kerana semua peserta dipersembahkan dengan tarian tradisi Selamat Datang, tarian piring serta acara bermain api. Dalam majlis ini juga, Puan Norhafisah binti Haji Mohamad, Setiausaha Majlis Daerah Kerian diminta untuk memberi ucapan dan menyatakan tujuan kedatangan kumpulan ini ke Pariaman untuk memperkenalkan peta pelancongan daerah Kerian sempena Tahun Melawat Perak tahun 2024 selain melihat prasarana dan pembangunan di Pariaman, Padang dan Bukit Tinggi. Alhamdulillah, hubungan baik antara kedua-dua pihak dapat dijalinkan dan Walikota Pariaman berjanji akan membalas kunjungan ke daerah Kerian serta menggalakkan pegawainya juga ke Malaysia.

Sesi lawatan ini juga, peserta berkesempatan melawat tempat-tempat menarik di Padang seperti pantai Padang dan tinggalan mitos Malin Kundang. Peserta dapat melihat keindahan air terjun dan kawasan pergunungan di Bukit Tinggi, merasai pelbagai hidangan istimewa Minangkabau, kebudayaan dan keseronokan membeli belah serta keindahan pantai dan pulau di Pariaman, Indonesia.