Skip to main content

Portal Rasmi Majlis Daerah Kerian

Portal Rasmi Majlis Daerah Kerian

Aktiviti & Program

DUA INOVASI MAJLIS DAERAH KERIAN LAYAK KE SESI PENILAIAN PERINGKAT PERTAMA PERTANDINGAN INOVASI MALA 2.0 - PIALA YB MENTERI KPKT

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2023 – Penyertaan Majlis Daerah Kerian julung kalinya dalam Pertandingan Inovasi MALA 2.0: Piala YB Menteri KPKT berhasil apabila dua inovasi Majlis Daerah Kerian layak ke sesi penilaian peringkat pertama pertandingan ini.

 Majlis Daerah Kerian yang menampilkan dua inovasi iaitu Multi Kaunter dan Sistem Pengurusan Anjing Terbiar (MyPAL) berentap dengan 66 inovasi dari 42 PBT lain di Dewan Perdana, Keramat Mall, Kuala Lumpur. Pertandingan yang diadakan selama tiga hari ini telah disertai oleh 12 majlis daerah, 16 majlis perbandaran dan 15 dewan/ majlis bandaraya.

 Semasa pembentangan projek inovasi ini, kedua-dua kumpulan ini mendapat suntikan semangat daripada Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, Tuan Helmi bin Yusof@Jusoh yang sama-sama berada di lokasi pertandingan sejak awal lagi.

 Bagi pembentangan produk MyPAL, projek inovasi ini telah dibentangkan oleh Setiausaha Majlis Daerah Kerian, Puan Norhafisah binti Haji Mohamad manakala untuk produk Multi Kaunter, projek inovasi ini dibentangkan oleh Haji Anas bin Dolah, Ketua Jabatan Perancang Bandar dan Landskap Majlis Daerah Kerian.  

 Menyentuh sedikit mengenai produk MyPAL, projek inovasi ini merupakan projek kolaborasi pertama Majlis Daerah Kerian dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Kerian, manakala untuk projek Multi Kaunter, inovasi ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya anggota kerja Majlis Daerah Kerian.

 Pertandingan ini secara umumnya telah memberi peluang kepada semua peserta untuk merasai pengalaman bertanding di peringkat yang lebih tinggi selain dapat berkongsi maklumat dan idea dengan peserta dari PBT yang lain.