PELAKSANAAN DIGITAL DOCUMENT MANAGEMENT SYSTEM (DDMS)
– PRA BENGKEL PENGURUSAN FAIL MAJLIS DAERAH KERIAN
PARIT BUNTAR, 7 April 2026 – Majlis Daerah Kerian (MDK) telah menerima kunjungan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak sempena pelaksanaan Pra Bengkel Pengurusan Fail selaras dengan inisiatif Digital Document Management System (DDMS). Program ini berlangsung di Bilik Alamanda, MDK.
Dalam sesi tersebut, Yang Dipertua MDK, Tuan Helmi bin Yusof@Jusoh, telah meluangkan masa mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, Puan Shahida binti Mohamad Salleh. Taklimat memberi penekanan kepada kepentingan pelaksanaan DDMS serta proses pengklasifikasian fail berdasarkan Panduan Pembangunan Klasifikasi Fail Pejabat Awam.
Sesi ini turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dalaman MDK serta lebih 25 orang kakitangan daripada pelbagai gred dan jabatan. Sepanjang taklimat, para peserta diberi peluang mengemukakan soalan dan antara soalan yang diajukan adalah berkaitan penggabungan fail, kaedah pengklasifikasian serta peranan pegawai dalam proses pendaftaran, pengagihan, peminitan dan pemfailan dokumen.
Walaupun hanya berlangsung sekitar dua jam setengah, pihak MDK turut berkesempatan membawa delegasi Arkib Negara Malaysia meninjau kemudahan bilik fail jabatan. Antara lokasi yang dilawati termasuk Bilik Melati yang dicadangkan sebagai bilik registri, ruang penyimpanan fail separa aktif/ tidak aktif di pejabat cawangan serta bilik khas di Dewan Merdeka.
Sebagai kesinambungan program ini, Bengkel Pengurusan Fail Majlis Daerah Kerian akan diadakan pada 23 hingga 25 April 2026 selepas mendapat persetujuan pihak Arkib Negara Malaysia.