Skip to main content

Soalan Lazim Unit Pusat Setempat

Apakah itu Pusat Setempat (OSC)

Unit Pusat Setempat (OSC) adalah unit yang ditubuhkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyelaras dan mempercepat proses permohonan cadangan pemajuan. Unit OSC berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pemohon untuk mengemukakan semua jenis permohonan berkaitan pembangunan tanah, pemajuan infrastruktur, renovasi bangunan dan lain-lain.

Bagaimana hendak mengemukakan permohonan cadangan pemajuan atau renovasi bangunan di Unit OSC?

Bagi cadangan yang melibatkan pemajuan skim pembangunan atau kerja renovasi bangunan (melebihi 100 kp), pemohon perlu mengemukakan pelan pemajuan secara atas talian (Sistem OSC 3.0 Plus Online) melalui perunding berdaftar yang dilantik. Bagi permohonan renovasi bangunan/ kediaman di bawah 100 kp) pula, pemohon boleh mengemukakan permohonan secara manual dengan mengisi borang yang boleh dimuat turun daripada Portal MDK.

Bagaimana sesuatu permohonan cadangan pemajuan diproses oleh Unit OSC?

Unit OSC akan menyemak permohonan yang dikemukakan oleh perunding dilantik melalui Sistem OSC 3.0 Plus Online berdasarkan kepada senarai semak yang telah ditetapkan. Permohonan yang telah disemak lengkap perlu mengemukakan salinan ‘hard copy’ dokumen, salinan pelan serta bayaran fi ke Kaunter OSC untuk diproses. Pemohon yang gagal mengemukakan dokumen dalam tempoh tiga (3) hari dari tarikh ulasan akan dibatalkan daripada sistem. Pemohon perlu mengemukakan semula permohonan baharu.

Berapakah tempoh masa yang diambil bagi memproses atau mendapatkan kelulusan bagi sesuatu permohonan?

Tempoh piagam bagi memproses atau meluluskan sesuatu permohonan tertakluk kepada jenis permohonan yang dikemukakan. Tempoh piagam boleh dirujuk pada maklumat Piagam Pelanggan.

Siapakah yang meluluskan permohonan cadangan pemajuan yang telah dikemukakan?

Setiap permohonan cadangan pemajuan akan dipertimbang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) untuk diputuskan. Mesyuarat Jawatankuasa OSC akan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian dan diangotai oleh Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran (ATL) dan Jabatan Teknikal Dalaman (ATD). Mesyuarat Jawatankuasa OSC bersidang dua (2) kali sebulan.

Bagaimana pemohon dapat mengetahui keputusan bagi sesuatu permohonan yang dikemukakan?

Pemohon boleh menyemak status permohon melalui Sistem OSC 3.0 Plus Online. Unit OSC akan mengeluarkan keputusan permohonan melalui Surat Pemakluman Dasar dalam tempoh tiga (3) hari dan Surat Keputusan Terperinci dalam tempoh lima (5) hari dari tarikh Mesyuarat Jawatankuasa OSC bersidang.

Apakah Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)?

Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) ialah satu sijil yang dikeluarkan sebagai bukti bahawa sesuatu bangunan telah siap dibina dan selamat untuk untuk didiami. Pengeluaran CCC perlulah mengikut kelulusan Pelan Banguman dan memenuhi semua syarat-syarat teknikal dan peraturan yang ditetapkan. Perakuan CCC dikeluarkan oleh Arkitek Profesional yang berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia, Jurutera Profesional yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia atau Pelukis Pelan yang berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia.