MENU

ALOR PONGSU, 7 JUN 2016 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr.Zambry Bin Abd Kadir bersama-sama YB Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, telah menyempurnakan perasmian Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu yang menjadi akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama bagi memasuki Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Laluan persimpangan bertingkat Alor Pongsu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dibuka bagi semua kenderaan secara rasmi mulai 7 Jun 2016 bermula jam 10 malam ini akan memberikan penjimatan masa perjalanan dari arah Utara dan Selatan ke Alor Pongsu dari 45 minit kepada 10 minit.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berkata, pelaksanaan ini menjadi impian penduduk di kawasan sekitar Negeri Perak dan dari negeri jiran amnya.

“Kawasan sekitar juga dapat dibangunkan dengan lebih terancang selaras perancangan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan Lembah Beriah satu lagi kawasan pertumbuhan baru di negeri ini.” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Kerajaan Negeri, Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin dan YB ADUN Alor Pongsu, Dato’ Sham Bin Mat Sahat.